CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 21, 2009

Antara imej dan perilaku...

Assalamualaikun dan selamat sejahtera.. persoalan yang sering tertimbul dalam benak fikiran. Antara imej islamik dan perilaku islamik..kadang-kadang kita mudah keliru dan tersalah membuat penilaian.. kita akan lebih menilai dan mengangkat darjat seseorang dengan melihat imej atau perwatakan islamiknya.Berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai imej atau perwatakan islamik tetapi mempunyai perilaku islamik yang diajar dalam agama.

Persoalannya, adakah imej islamik(luaran) menggambarkan perilaku islamik? kita selalu melihat seseorang yang mempunyai imej islamik itu lebih mulia berbanding dengan orang lain, sedangkan ada diantara mereka yang tidak mempunyai perilaku islamik? Untuk kita mudah memahami, antara contoh perilaku islamik ini adalah seperti, menjaga aib sesama insan, tidak menaburkan fitnah(tidak bercakap berdasarkan bukti yang kukuh dan sahih), menjaga hubungan sesama islam, tidak berprasangka buruk semata-mata dan sebagainya..Kenapa kita sering menjadikan imej islamik ini sebagai kayu ukur kepada seseorang itu..sedangkan perilaku islamik itu yang perlu kita jadikan ukuran..apalah gunanya, berperwatakan seorang alim ulama', tetapi bicaranya seperti seorang perosak. Apalah gunanya berperwatakan seorang ustaz dan ustazah tetapi hakikatnya mereka adalah seorang yang membuat fitnah..

Apalah ertinya kita berjuang untk membawa imej islamik di dalam kampus atau di luar kampus sedangkan kita tidak menjaga perilaku islamik? Fitnah memfitnah orang lain untuk memastikan kepentingan politik yang kononnya atas dasar imej islamik yang mahu dibawa. Kita perlu berfikir dgn lebih jelas, bahawa matlamat tidak menghalalkan cara..Tidak menyalah gunakan imej islamik yang ada untuk mengaburi perilaku islamik yang masih tidak nyata.

Kesimpulannya, perilaku islamik adalah satu ukuran yang perlu untuk kita jadikan teladan. Penilaian yang rasional dan matang terhadap seseorang adalah dibuat berdasarkan kepada perilaku seseorang, bukan berdasarkan kepada imej seseorang."dont judge a book by its cover"

Thursday, October 1, 2009

Bila pilihan raya menjelma.....

Salam sejahtera, pilihan raya kampus akan kembali menghangatkan lagi suasanan kampus ini. Dan seperti biasa suasana politik kampus akan bermula. Agenda mencari kesalahan ahli-ahli MPP akan tiba. Timbullah pelbagai isu berkenaan MPP,Aspirasi,Pro-M dan sebagainya. Isu-isu seperti ini akan berlaku bukan sahaja di USM,malahan di kebanyakan universiti tempatan. Ini adalah realiti biasa keadaan politik kampus. Tetapi jarang sekali kita mencari titik-titik kebaikan yang telah dilakukan oleh MPP, segala keringat yang telah diusahakan oleh MPP, segala bebanan yang ditanggung oleh MPP, segala pengorbanan yang dilakukan oleh MPP,
(sehinggakan ada MPP yang di warning akan di 'BAR' dari exam akibat tidak datang kelas akibat terpaksa menghadiri meeting-meeting yang memerlukan suara pelajar).

Alasan biasa yang akan didengari oleh MPP jika perkara-perkara di atas tidak diketahui oleh pelajar, "kenapa MPP tak sebarkan?". Ini adalah jawapan standard yang akan kita dengari. Kadang-kadang saya terfikir, kalau cerita-cerita tentang kelemahan, keburukan MPP, cepat pulak tersebar. Tak perlu tunggu MPP beri tahu kat pelajar, tahu-tahu dah tersebar. Inilah situasi yang berlaku di USM, saya yakin dan percaya bahawa situasi ini juga berlaku di kebanyakkan universiti dalam negara kita ini.

Kita selalunya mencari kelemahan orang lain, kita selalu mencari jalan untuk menjatuhkan orang lain. Ini lah masalah kita sebagai pelapis kepimpinan negara nanti. Kita sangat suka dan bersemangat untuk mencari kelemahan orang lain. Tapi kita tidak bersemangat dan lesu untuk mencari jalan yang terbaik untuk membantu orang lain maju dan seterusnya berjaya. Pelbagai jalan, pelbagai kritikan boleh dibuat dan pelbagai usaha boleh dilakukan untuk menjatuhkan orang lain. Tetapi sayang, pelbagai jalan buntu dijumpai dan banyak alasan yang tidak membina diberikan ketika untuk membantu orang lain berjaya.

MPP tidak akan selalunya menyebarkan apa yang dilakukan untuk pelajar, kerana mereka yakin bahawa apa yang dilakukan bukan dibalas dengan populariti. Tetapi dibalas dengan kesenangan pelajar yang kadang-kadang mereka sendiri tidak sedar dengan kesenangan yang dikecapi. Saya rasa tidak perlu untuk MPP hebahkan secara besar-besaran untuk memastikan semua pelajar USM yang berjumlah puluhan ribu tahu tentang apa yang MPP sudah lakukan. Tugas MPP bukan untuk mendapat populariti, tetapi tugasnya untuk berbakti. Baik daripada luaran yang dirasai oleh pelajar ataupun dalaman yang tidak dirasai secara terus dengan pelajar.

Menjelang pilihan raya kampus juga, kita akan dapat membaca tulisan-tulisan 'figure' yang nampak lantang bersuara mengkritik MPP, mengkritik ideologi, dan sebagainya. Ingatlah sahabat-sahabat ku sekalian. bahu yang memikul lebih berat daripada mata yang memandang.

Saya perlu akur bahawa kita berada di dalam dunia yang mencabar. Ini adalah harga yang perlu dibayar oleh ahli-ahli MPP yang bertanding dahulu. Niat yang baik akan datang dengan dugaan yang terbaik. Tidak dikatakan sesorang itu beriman jika tidak diuji keimanannya.

Saya selalu berpegang kepada kata-kata Saidina Umar Al khatab, jika kamu cuba memuaskan hati semua orang nescaya kamu sedang memusnahkan diri kamu sendiri.

Wallahualam.

Monday, July 20, 2009

Perselisihan atau ikhtilaf sesama kita..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian. Pada penulisan kali ini saya ingin membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan ikhtilaf (perselisihan) yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Dalam tulisan Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya ‘kewajiban menguasai enam jenis fiqh bagi pendakwah islam di alaf baru’. Ikhtilaf(perselisihan) merupakan salah satu fiqh daripada enam fiqh yang terkandung dalam bukunya itu, antara fiqh-fiqh yang terkenal adalah, fiqh Al-Muwazanat, Al-Awlawiyat, Al-Nusus, Al-Waqi’ dan Al-Taghyir. Dalam penulisan hari ini, saya akan membincangkan tentang fiqh Al-Ikhtilaf. Fiqh-fiqh yang lain akan dibincangkan kemudian.

Ikhtilaf tidak pernah memudaratkan hubungan sesama manusia, tetapi malangnya kita di zaman yang jahil ini terlalu jahil dalam mengenal dan memahami fiqh ini. Oleh itu, tidak pelik jika kita pada hari ini sanggup bermusuhan sesama Islam oleh kerana perkara-perkara yang remeh tanpa sebarang penilaian yang benar. Pada zaman ini terdapat banyak kebangkitan jemaah-jemaah,pertubuhan-pertubuhan dan madrasah untuk menegakkan islam dimuka bumi Allah Yang Esa ini, kebangkitan ini. Setiap daripadanya akan membawa kepada manhajnya tersendiri dalam menjalankan kerja-kerja Islam. Tidak menjadi kesalahan untuk mewujudkan pelbagai jemaah dan pertubuhan yang bekerja untuk Islam. Asalkan kepelbagaian yang wujud itu boleh melahirkan kerjasama dan menyebabkan setiap jemaah saling melengkapi antara satu sama lain.

Apa yang menyedihkan hati apabila ada pendakwah islam yang tidak memahami dan menilai ihktilaf, sebaliknya lebih berperanan menimbulkan bibit-bibit perpecahan dan mencari ruang untuk perpecahan. Kebanyakannya hanya bertumpu kepada titik pepercahan bukannya titik pertemuan dan penyatuan. Perkara ini semakin kronik apabila ada jemaah-jemaah yang menganggap hanya jemaahnya sahaja yang benar, manakala jemaah lain adalah salah.

Perlu diingatkan bahawa setiap individu mempunyai ilmu tersendiri dan didalam manhaj setiap jemaah itu, ada kekuatan dan kelemahannya. Oleh kerana itu, kita tidak boleh sesekali untuk menghina jemaah lain apatah lagi mengangkat jemaah sendiri. Sebenarnya golongan yang cuba untuk mengumpulkan orang ramai untuk berpegang kepada satu pendapat sahaja dalam hukum-hukum ibadat, muamalah dan lain-lain cabang agama adalah mereka yang cuba untuk merealisasikan sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku.

Percubaan mereka untuk mengahapuskan perselisihan tidak akan membuahkan apa-apa hasil, sebaliknya akan meluaskan lagi perselisihan. Sehubungan dengan itu perselisihan dalam memahami hukum-hukum syarak yang tidak asasi adalah satu keperluan yang tidak dapat dielakkan.

Semoga penulisan ini dapat difikirkan bersama-sama dan kita boleh berkongsi pendapat bersama-sama. InsyaAllah.

Monday, July 13, 2009

Siapa mahasiswa bagi gagasan najib?

1Malaysia adalah satu gagasan yang dibentuk untuk meneruskan kesinambungan perpaduan nasional yang dipupuk sejak dari kepimpinan perdana menteri pertama lagi. 1Malaysia bukan satu benda yang baru untuk dijadikan pedoman kepada rakyat jelata. Tetapi 1Malaysia adalah penunjuk kepada aspirasi negara dalam mencapai matlamat terakhirnya iaitu perpaduan nasional.Pelbagai pendekatan yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menterjemahkan gagasan 1Malaysia demi memastikan pemahaman yang menyeluruh dapat dicapai. Sejajar dengan itu, pelbagai perbincangan dan perdebatan yang telah berlaku dikalangan masyarakat negara kita demi mencapai pemahaman yang holistik.


Dalam usaha untuk mencapai matlamat akhir gagasan 1Malaysia ini, mahasiswa perlu untuk memainkan peranan dalam memastikan perpaduan nasional yang kita kecapi pada hari ini semakin utuh. Mahasiswa adalah golongan intelektual yang akan menjadi tonggak kepada perpaduan negara kita pada masa akan datang. Golongan intelek ini yang akan memacu dan membawa masyarakat kepada keharmonian hidup pada masa akan datang. Namun begitu, mahasiswa pada hari ini tidak ramai yang sedar akan peranan yang perlu untuk dimainkan oleh mereka dalam memastikan perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara kita tercapai. Sebenarnya mahasiswa boleh memainkan peranan dalam memastikan perpaduan nasional tercapai. Antaranya, memahami perbezaan antara kaum, bertolak ansur atas kelebihan yang ada, mengelakkan kontrovesi antara kaum dan sebagainya.


Namum begitu, beberapa cabaran yng perlu ditempuh oleh mahasiswa. Antaranya mahasiswa pada hari ini didedahkan dengan pelbagai berita dan kabar-kabar angin yang boleh mengancam perpaduan nasional. Jika mahasiswa tidak mempunyai pengetahuan yang tepat, sudah semestinya mahasiswa akan terpengaruh dengan kabar angin tersebut. Kesannya, mahasiswa akan diperkudakan oleh pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri. Jika mahasiswa begitu mudah diperkudakan maka, hasrat untuk mengutuhkan perpaduan nasional di negara kita akan terkubur.


Mahasiswa pada perlu untuk memahami peranan dan cabaran yang akan mereka hadapi. Maka 1Malaysia adalah satu petunjuk kepada mahasiswa untuk bersama-sama dengan kerajaan untuk merealisasikan impian perpaduan nasional yang utuh.

Tuesday, June 23, 2009

Selamat Datang Pelajar APEX


















































Wednesday, June 10, 2009

Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan


Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Alhadulilllah tamat sudah Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan(MPPK). Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato, Hj. Muhyiddin Bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri negara kita. Mesyuarat ini dianggotai oleh perwakilan pelajar daripada IPTA dan IPTS , kementerian-kementerian, dan beberapa jabatan perkhidmatan awam.


Beberapa cadangan yang telah pun dibentangkan oleh perwakilan pelajar antaranya, Pemerkasaan Mutu dan Kualiti Pendidikan Sekolah-sekolah Luar Bandar Negeri Sabah,Transformasi Ekonomi Malaysia ke Arah Persaingan Kompetitif, Cadangan Penubuhan Pusat Kajian Non-Traditional Security Issues, Isu Pengangkutan Awam Melibatkan Golongan Pelajar dan Mahasiswa Di Malaysia dan Isu Pembangunan Wanita. Pada pandangan saya isu yang dibentangkan oleh perwakilan amat menarik untuk direalisasikan. Saya amat berharap agar isu-isu ini dapat direalisasikan dan bukan hanya di dalam mesyuarat sahaja.


Sebenarnya, ada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh perwakilan dalam mesyuarat tersebut, antaranya isu PTPTN, isu kelestarian alam sekitar negara, masalah sosial belia, isu 10 subjek dalam SPM, masalah infrakstuktur di sabah dan Sarawak dan isu penghantaran pelajar keluar negara. Pada hemat saya, mahasiswa pada hari ini sudah semakin peka terhadap isu masyarakat sekeliling dan bukan hanya membincangkan isu di kampus semata-mata. InsyaAllah, sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi saya melalui blog ini. Sekian


Yang Dipertua MPPUSM dan Majlis Tertinggi

Jemaah Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia

Friday, May 29, 2009

Wahai Melayu, Cina dan India sedarkah kalian?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pertama. Sedarkah kita sepatutnya bersyukur dengan keamanan yang negara kita kecapi pada hari ini? Walaupun kita berada dalam masyarakat yang majmuk, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Kedua, sedarkah kita bahawa negara kita merupakan negara majmuk yang mempunyai permusuhan antara kaum yang paling terhad dalam dunia, jika kita hendak bandingkan dengan pembersihan etnik atau kaum (ethnic cleansing) iaitu pembunuhan antara kaum secara besar-besaran berlaku di Rwanda,Bosnia,Sudan dan Kosovo. Perbezaan kaum di negara-negara ini tidak diterima baik sebagaimana kita menerima baik perbezaan antara kaum di negara Malaysia.

Renung-renungkan, bahawa kita perlu untuk mengekalkan keamanan yang sedia ada. Mengapa kita asyik mencari titik perbezaan? sedangkan titik persamaan itu lebih murni untuk kita jadikan kekuatan sebagaimana yang telah disarankan oleh Perdana Menteri kita' 1Malaysia'. Jika dibandingkan dengan negara-negara majmuk dalam dunia. kita sudah mempunyai kekuatan daripada segi penerimaan antara kaum.
Jadi, renung-renungkan...

Monday, May 25, 2009

Nak kasi pandangan kepada Timbalan Perdana Menteri?

Pada 9 Jun 2009 ini, saya dan beberapa rakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar akan bertemu dengan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri Malaysia,di Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar-Pelajar Kebangsaan di Malaysia International Exhibition& Convention Center (MIECC),Seri Kembangan, Selangor. Perjumpaan ini akan membincangkan tentang isu-isu mahasiswa diperingkat nasional. Di peringkat MPPUSM, kami akan membawa beberapa isu meliputi aspek kebajikan pelajar,Dasar Pembangunan Mahasiswa,kerohanian, dan intelektual mahasiswa. Jadi, kepada semua pembaca yang mempunyai sebarang isu yang hendak dikongsi dan dibincangkan, boleh kirimkan komen anda di blog ini ataupun di email atomicboy_88@yahoo.com. Kerjasama anda amat saya hargai.

Monday, May 11, 2009

Mahasiswa dan kemelut politik negara.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada hari ini, negara kita sedang hangat dengan isu kemelut politik yang berlaku di Perak. Masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Di manakah kesudahannya? Dewan Undangan Negeri masih lagi tidak bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat di Perak. Sedangkan perkara itu yang lebih utama untuk dibincangkan. Dimanakah sebenarnya acuan politik negara kita ini dibina? Secara realitinya, keadaan politik negara kita pada hari ini mempunyai beberapa kelemahan yang perlu untuk diperbaiki. Namun begitu, siapakah yang mahu membaikinya? Secara umumnya, kita akan mengharapkan kepimpinan tertinggi negara yang akan memperbaikinya. Atas rasional, mereka yang bertanggungjawab dalam membentuk agenda politik negara.

Persoalan mula timbul apabila berlaku perselisihan ideologi antara pemimpin-pemimpin di dalam negara. Mereka tidak mendapat kesepakatan dalam menguruskan pentadbiran negara. Sehinggakan sekarang berlaku perselisihan yang tidak tahu bilakah kesudahannya. Jadi, bilakah masanya kita mampu memperbaiki kelemahan sistem politik negara demi kepentingan rakyat jelata?

Pada hemat saya, sudah tiba masanya mahasiswa memainkan peranan dalam membina acuan politik yang lebih matang. Mahasiswa boleh berperanan dalam merangka acuan politik negara yang matang bermula dengan agenda politik kampus yang matang. Walaupun kita sedia maklum, bahawa mahasiswa juga mempunyai agenda politik yang tersendiri. Namun, mahasiswa perlu melatih diri supaya mencari titik persamaan dalam ideologi politik masing-masing. Atas dasar kebaikan bersama. Bukan mencari titik perselisihan yang dapat menjadikan kita bertelangah atas perkara yang remeh temeh. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka pada masa depan, acuan politik negara kita akan lebih sempurna.

Mahasiswa adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh negara agar tidak terpengaruh dengan kemelut politik di negara kita. Kita adalah 'frontline' kepada perubahan politik negara kita pada masa akan datang. Lakukan perubahan dalam berhadapan dengan ideologi politik yang berbeza. Kita tidak boleh terpengaruh dengan politik di luar sana. Kita adalah agen perubahan, bila mana disebut tentang agen perubahan, kita perlu menilai segala kelemahan yang ada, supaya kita dapat memperbaiki kelemahan itu. Pemimpin mahasiswa perlu mencari titik persamaan dalam mencari erti kemakmuran bersama. Kemelut politik yang berlaku adalah akibat daripada kedegilan bakal-bakal pemimpin yang tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku.

Wallahualam.

Lintas langsung dari bilik MPP

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Alhamdulillah selesai sudah masalah desasiswa yang membelenggu warga kampus. Majoriti pelajar yang merayu mendapat desasiswa. Demikian adalah usaha sama Majlis Perwakilan Pelajar dan budi bicara Majlis Penggawa Desasiswa. Sewaktu saya berada di dalam meeting Majlis Penggawa-Penggawa untuk menyelesaikan masalah ini, beberapa cara yang telah dikemukan kepada Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pelajar. Antaranya menampung jumlah pelajar yang merayu dengan kouta pelajar Postgrad dan kouta penempatan pelajar baru. Alhamdulillah cara-cara tersebut dapat membantu pelajar yang merayu untuk mendapat desasiswa pada sidang hadapan. Moralnya, untuk menjamin diri bagi mendapat desasiswa, aktifkanlah diri anda. Memang benar, ada rungutan yang mengatakan mereka aktif tapi tetap tidak mendapat desa. Kami telah menaikkan perkara ini, dan pihak HEPP telah mengambil serius dan memperbaiki kelemahan ini pada sidang hadapan.InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan kalian semua.

"Sebaik-baik manusia adalah manusia memberikan manfaat kepada manusia lain"-hadith-

Thursday, April 9, 2009

Ramai yang tak dapat desasiswa???????

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada 9 april, keputusan desasiswa diumumkan di healhty campus. Malangnya ramai yang tidak dapat desasiswa dan terpaksa buat rayuan. Di kala final exam nak tiba ni, banyak pula malang yang datang bertimpa, ramai yang tidak dapat desasiswa. Pada malam 10 April, MPPUSM akan bersidang untuk mencari penyelesaian bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah pelajar ini, selaku YDPMPPUSM, saya cuba menaikkan dan perjuangkan isu ini kepada Majlis Pengawa-Pengawa Desasiswa dan Pentadbiran tertinggi universiti untuk diperhalusi kembali. Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian yang bersifat 'win-win situation' dalam hal ini.


Saya sedar bahawa sistem merit desasiswa telah dilaksanakan dan tambahan pula USM sekarang berada dibawah APEX universiti program,USM akan mengurangkan pengambilan student undergraduate dan meningkatkan bilangan pelajar postgraduate secara mendadak. Kesannya, ramai yang terpaksa menginap di luar desasiswa USM. Kebarangkalian, semua pelajar undergraduate akan ditempatkan di desasiswa RST dan pelajar postgraduate akan ditempatkan di dalam. Pelbagai kajian perlu untuk diperhalusi oleh pihak universiti supaya pertimbangan yang adil dan telus dilakukan.Pada hemat saya ini adalah pelaksanaan terhadap apa yang telah universiti janjikan supaya merit desa akan dilaksanakan pada sidang ini.Sekarang kita lihat ramai yang tidak dapat desa kemungkinan akibat daripada unit desa yang kurang. Kami akan cuba meminta universiti menunjukkan pelaksanaan dan jumlah perkiraan unit desa semua pelajar. 'Transparent enforcement' ini penting agar pelaksanaannya telus untuk pelajar terima.Disamping itu, pelajar boleh mempertikaikan keputusan yang kemungkinan ada ralat dimana mana bahagian dalam pelaksanaan merit desa ini. Saya yakin pihak univerisiti amat perihatin dengan hal ehwal kebajikan pelajar. Sepanjang saya menjadi wakil pelajar, tidak pernah pihak universiti mengambil sikap endah tidah endah terhadap isu kebajikan pelajar. Pihak universiti sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelajar. Jadi marilah kita bersama-sama universiti untuk memperbaiki mana-mana bahagian yang perlu ditambahbaik. khususnya dalam isu desasiswa ini.
InsyaAllah kita berdoa bersama-sama agar semua perbincangan MPPUSM dengan pihak universiti akan dipertimbangkan dengan adil dan saksama.Saya menerima apa yang telah pihak universiti lakukan, kerana pihak universiti telah memaklumkan kepada semua pelajar berhubung dengan sistem merit desa ini. Tetapi saya mengharapkan 'transparant enforcement' daripada pelaksanaan itu dapat di jelaskan kepada semua pelajar agar jika ada merit yang tersilap boleh pelajar itu sendiri perbaiki.Saya berharap semua rakan-rakan dapat memberi kerjasama terhadap usaha yang dilaksanakan oleh pihak MPPUSM dan universiti yang kita cintai. sekian.. 'memimpin kelestarian, memacu kecemerlangan'

Thursday, April 2, 2009

Terima kasih Pak Lah.....


assalamualaikum dan selamat sejahtera,Pada 2 April 2009,Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat peletakan jawatan serta memohon perkenan baginda bagi pelantikan penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Alhamdulillah segala proses berjalan dengan lancar. Ini bermakna seluruh Malaysia akan menyaksikan tampuk kepempinan kabinet baru yang akan diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya mendoakan agar tampuk kepimpinan baru negara ini akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.


Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri yang kelima Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas segala usaha yang telah dilakukan untuk kepentingan negara ini. Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin, dan bukan mudah juga untuk mentadbir sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum di dalamnya. Alhamdulillah, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah pun berjaya dalam memimpin rakyat di negara kita pada hari ini. Di sepanjang era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, banyak perubahan yang elah dibawa kepada negara kita, antaranya beliau amat menitik beratkan tentang pembenterasan gejala rasuah yang di mana menjadi barah dalam negara kita, alhamdulillah, masyarakat semakin sedar tentang keburukan rasuah, kesedaran ini boleh kita nilai daripada jumlah tangkapan pesalah-pesalah rasuah di negara kita yang semakin hangat di paparkan di dada akhbar. Maknanya, masyarakat sudah mengambil berat tentang gejala yang hina ini.


Sepanjang pemerintahan Tun, beliau telah berjaya mengarus perdanakan sektor pertanian, dengan slogan "pertanian adalah perniagaan", kesannya pada hari ini, sektor pertanian adalah sumber ketiga negara dalam menjana ekonomi negara kita. lihat sahaja negara Jepun, walaupun negaranya maju dengan pembangunan daripada sektor pembuatan, tetapi rakyat negara mereka terpaksa membeli makanan seperti sayur sayuran, buah-buah dengan harga yang tinggi sekali. Alhamdulillah, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah meletakkan sektor pertanian sebagai sumber kekuatan negara kita dan kesannya, negara kita tidak mempunyai masalah yang besar daripada segi makanan disamping kemajuan daripada segi sektor pembuatan.


Walaupun tempoh pemerintahan Tun Abdullah sangat singkat, bagi saya beliau telah pun menjalankan tugas dengan baik. Pelbagai cabaran yang telah ditempuh bagi memastikan negara kita terus aman dan damai. Saya mendoakan agar Tun Abdullah Ahmad Badawi dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat. Ameen.

Saturday, March 14, 2009

Dont feel any impact in your relationship? come get connected!

ARE you one of those people who rarely touch the Qur'an? Or do you read daily, but don't find it is having the impact on you that it should? Whatever the case may be, these are some simple tips that can help you connect with the Qur'an.

1. Before you touch it, check your heart. The key to really benefiting from the Qur'an is to check your heart first, before you even touch Allah's Book. Ask yourself, honestly, why you are reading it. Is it to just get some information and to let it drift away from you later? Remember that the Prophet Muhammad (peace be upon him) was described by his wife as a "walking Qur'an": in other words, he didn't just read and recite the Qur'an, he lived it.

2. Do your Wudu (ablution). Doing your Wudu is good physical and mental preparation to remind you that you're not reading just another book. You are about to interact with God, so being clean should be a priority when communicating with Him.

3. Read at least 5 minutes everyday. Too often, we think we should read Qur'an for at least one whole hour. If you aren't in the habit of reading regularly, this is too much. Start off with just five minutes daily. If you took care of step one, Insha Allah (God willing), you will notice that those five minutes will become 10, then half an hour, then an hour, and maybe even more!

4. Make sure you understand what you've read. Five minutes of reading the Qur'an in Arabic is good, but you need to understand what you're reading. Make sure you have a good translation of the Qur'an in the language you understand best. Always try to read the translation of what you've read that day.

5. Remember, the Qur'an is more interactive than a CD. In an age of "interactive" CD-Roms and computer programs, a number of people think books are passive and boring. But the Qur'an is not like that. Remember that when you read the Qur'an, you are interacting with Allah. He is talking to you, so pay attention.

6. Don't just read; listen too. There are now many audio cassettes and CDs of the Qur'an, a number of them with translations as well. This is great to put on your walkman or your car's CD or stereo as you drive to and from work. Use this in addition to your daily Qur'an reading, not as a replacement for it.

7. Make Doa (supplication) . Ask Allah to guide you when you read the Qur'an. Your aim is to sincerely, for the love of Allah, interact with Him by reading, understanding and applying His blessed words. Making Dua to Allah for help and guidance will be your best tool for doing this.

Thursday, March 12, 2009

Yang mana satu ku keliru???

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, perbincangan kali ini adalah berkenaan dengan fiqh Al-Aulawiyat. Pada zaman yang serba moden ini, fiqh ini akan banyak membantu kita supaya lebih waras dalam membuat keputusan.

Menurut Al Syeikh Yusuf Al Qardhawi fiqh Al Aulawiyat itu bererti meletakkan suatu pertempatan dengan adil. Segala jenis hukum hakam, amal dan nilai-nilai dalam Islam oleh terikat dengan fiqh Al Aulawiyat ia harus didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan,suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak wajar dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah S.W.T berfirman : 'Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu. (Surah Ar Rahman, Ayat 7-9):

Perkara asas dalam hal ini ialah semua aspek hukum, amal, nilai dan taklif tidak berada dalam suatu susunan yang sama. Justeru itu Al Quran mengemukakan hajat yang amat kuat seperti yang terdapat dalam surah At Taubah, Ayat 19 - 20 Allah S.W.T berfirman :
Maksudnya :
'Apakah orang-orang yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan menguruskan Masjid Al Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kiamat serta berjihad di jalan Allah. Mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orangnya yang mendapat kemenangan'.
Begitulah sedikit sebanyak tentang kupasan berkenaan dengan fiqh ini. selamat beramal!

Wednesday, March 11, 2009

Selangkah kaki di Parlimen..


Tepat pukul 4.00 petang, di Dewan Rakyat Parlimen Negara kita, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet Mini bagi menghadapi krisis ekonomi global. Sebanyak RM 60 bilion telah diperuntukkan bagi merangsang kegiatan ekonomi dan mengelak negara daripada terjejas teruk oleh krisis ekonomi dunia yang disifatkan antara yang paling teruk dalam tempoh 70 tahun.
Alhamdulillah, saya dan kawan-kawan diberi kesempatan untuk menyaksikan secara langsung pembentangan bajet ini di dalam Dewan Rakyat. Dalam pembentangan Bajet Mini ini, empat teras yang dititik beratkan dalam peruntukan Bajet Mini. Teras pertama,sebanyak RM 2 bilion diperuntukkan dalam mengurangkan pengangguran dan menambahkan peluang pekerjaan. Teras kedua, sebanyak RM 10 bilion diperuntukkan untuk meringankan beban rakyat, terutama golongan mudah terjejas. Teras ketiga, sebanyak 29 bilion diperuntukkan dalam membantu sektor swasta menhadapi krisis ekonomi. Teras keempat, sebanyak 19 bilion diperuntukkan dalam membina keupayaan masa depan. Mudah-mudahan dengan segala peruntukan dalam Bajet Mini akan membantu rakyat negara dalam menghadapi krisis ekonomi dalam dunia ini.

Jika kita lihat, perkembangan ekonomi dunia yang amat negatif ini telah mula menampakkan impaknya ke atas ekonomi negara dalam suku keempat 2008. Eksport dan pengeluaran industri negara mula merosot dan pelaburan berkurangan. Sentimen pengguna juga turut terjejas. Berikutan ini, Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) telah mencatatkan penurunan ketara rendah sebanyak 0.1 peratus, berbanding dengan purata sebanyak 6.3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2008.

Bagi menghadapi tekanan ekonomi ini.Kerajaan telah mengambil langkah dengan menyuntik peruntukkan yang optimum bagi meransang ekonomi negara kita. Syabas kepada kerajaan negara atas keperihatinan dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang semakin membimbangkan.

Sunday, March 1, 2009

Mesyuarat Pra-MPPK..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Alhamdulillah telah selesai Mesyuarat Pra-MPPK(Pra- Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan) semalam pada pukul 5.00ptg. Mesyuarat ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 27-28 Februari bertempat di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET) Bangi. Mesyuarat ini menghimpunkan kepimpinan tertinggi pelajar daripada setiap universiti tempatan dan swasta.Mesyuarat ini dianggotai oleh semua YDP MPP setiap IPTA dan IPTS. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincang dan membuat resolusi yang akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Sebanyak 7 kertas kerja yang akan bentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri kelak, antaranya Dasar Pembanguan Siswa, Pemerkasaan Wanita, Penurunan Harga makanan, dan sebagainya. Antara pembentang kertas kerja pada mesyuarat Pra-MPPK kelmarin adalah YDP MPP USM,MMU,UPM,UPSI,dan UTTAR. Semoga resolusi-resolusi tersebut dapat diambil tindakan oleh kepimpinan tertinggi negara.

Thursday, February 12, 2009

Syukurlah..


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. dah lama rasanya tak update blog. minta maaf ya pembaca sekalian. Alhamdulillah, pada hari ini saya diberi kesempatan untuk menulis sedikit pengisian dan perkongsian tentang apa yang sudah saya lalui hampir dekat satu bulan menjadi salah seorang ahli majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia.Pada awalnya pelbagai perjumpaan di luar dan di dalam universiti telah saya hadiri. Antaranya bengkel kelestarian, perutusan menteri pengajian tinggi, perjumpaan ECO team dan sebagainya.Kemudian, selepas perlantikan rasmi MPP yang diadakan di DTSP pada 2 Februari 2009, saya dan rakan-rakan ahli majlis perwakilan pelajar telah membina cita-cita untuk menjaga dan memperbaiki kebajikan pelajar disamping bersama-sama universiti dalam memacu pembangunan universiti bertaraf 5 bintang dan universiti APEX.




Disamping menanam cita-cita murni tersebut, beberapa perancangan telah pun kami rangka dan sedang kami jalankan untuk memastikan hubungan antara mahasiswa USM dan kami selaku perwakilan mereka. Antaranya, saya dan rakan-rakan MPP sedang melakukan perjumpaan pertama dengan semua Majlis Penghuni Desasiswa USM di desa masing-masing untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh semua penghuni desasiswa di universiti yang kita cintai ini. Pada hemat kami, hubungan yang baik antara MPP dan MPD adalah satu platform yang terbaik kepada kami untuk mengenal pasti masalah kebajikan pelajar secara menyeluruh. Kerana majoriti pelajar USM, tinggal di desasiswa.


Syukur ke hadrat Illahi, pada minggu ini, kesemua portfolio dalam kepimpinan MPP telah ke beberapa jabatan contohnya jabatan keselamatan, unit biasiswa dan pinjaman, dan sebagainya untuk mengambil keterangan dan berbincang dengan pihak mereka terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam perjumpaan dengan setiap MPD. Keterangan penuh akan di update setelah tamat perjumpaan dengan semua desasiswa InsyaALLAH.
Perancangan dan tindakan susulan akan dilakukan dari masa ke masa untuk memastikan kita semua mendapat faedah yang optimum di dalam universiti yang kita cintai ini. Tapi kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan, hal ini kerana tuhan akan menambahkan nikmat yang kita dapat kalau kita sentiasa bersyukur. ameen. mudah mudahan.
Kawan-kawan, doakan agar kepimpinan MPP dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berdedikasi. sebarang teguran dan pandangan bolehlah kita bawa berbincang bersama-sama. terima kasih.


Renungan bersama


"Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberikan manfaat kepada manusia kain" hadith

Wednesday, January 21, 2009

Cemerlang dengan membaca dan meneliti Al Quran

Cemerlang dengan membaca dan meneliti Al Quran

“ Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-kitab (Quran) dan dirikanlah solat” Al-Ankabut, 45

SUMBER ILMU YANGTERPENTING BAGI UMAT ISLAM ADALAH QURAN,kecemerlangan tidak dapat dipisahkan daripada Quran kerana Quran adalah petunjuk. Tanpa petunjuk, manusia akan tersesat dan terbabas. Tuhan menjelaskan dalam surah al- israk ayat 9 yang bermaksud, “ sesungguhnya quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal salih bahawa bagi mereka ada pahala besar.”
Tuhan menyifatkan Quran sebagai petunjuk aqwam. Berhubung dengan ini, di dalam al-Jamik li ahkam al-quran, Imam Qartubi berkata, “ Kalimat aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat.” Justeru, mereka yang menjadikan Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan ketenangan akan menaungi mereka.

Cemerlang dengan Wawasan

“ Dan antara mereka ada yang berkata, “ Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami hasanah dunia dan hasanah di akhirat dan jauhikan kami daripada azab api neraka” Al- Baqarah. 201

UNTUK BERJAYA, INDIVIDU itu perlu mempunyai matlamat dan wawasan. Quran menjelaskan berkenaan wawasan ini dengan indah sekali. Melalui ayat di atas, Tuhan menjelaskan wawasan ini dalam bentuk doa. Doa ini disebut berulang- ulang kali hampir setiap hari oleh umat Islam di dalam dan luar sembahyang.

Dalam musnad Imam Ahmad dinyatakan. Imam Qatadah bertanya kepada sahabat nabi, Anas bin Malik, “ apakah doa yang paling banyak disebut oleh nabi?” Anas menjawab, “Doa itu adalah, ‘Wahai Tuhan kami, kurniakanlah hasanah bagi kami di dunia dan juga akhirat dan jauhkanlah kami daripada azab neraka.” Mengikut Imam Muslim, Anas bin Malik apabila hendak berdoa dengan satu doa, beliau pasti berdoa dengan doa ini. Apabila beliau berdoa dengan pelbagai doa, doa ini pasti dimuatkan dalam himpunan doa-doa itu.

Wawasan hasanah

Wawasan yang terdapat dalam ayat ini boleh dinamakan sebagai “wawasan hasanah”. Hasanah boleh diertikan sebagai kebaikan dan kebahagiaan. Kebaikan dan kebahagian yang dikejar oleh umat Islam adalah di dunia dan akhirat.
Berhubung dengan ayat ini,Imam Ibnu Kathir di dalam tafsir al-quran al azim berkata, “doa ini menghimpunkan segala kebaikan di dunia di samping mengandungi permintaan supaya dijauhkan daripada segala keburukan . hasanah di dunia merangkumi segala perkara yang diperlukan di dunia, antaranya kesihatan, tempat tinggal yang baik,isteri (suami) yang baik, murah rezeki, ilmu yang bermanfaat, amalan yang salih dan lain-lain. Adapun hasanah di akhirat, setinggi-tinggi anugerahnya adalah syurga. Di samping itu,ia juga merangkumi aspek-aspek ukhrawi seperti diamankan daripada kedasyatan akhirat, dipermudahkan hisab dan seumpamanya.

Hasanah di Akhirat Lebih Utama

Dunia bukan destinasi terakhir manusia. Sebaliknya, ia hanyalah persinggahan bagi mengambil bekalan. Destinasi terakhir yang sepatutnya menjadi focus semua manusia adalah akhirat. Justeru, hasanah di akhirat adalah lebih baik dan lebih wajar diutamakan. Tuhan menyatakan dalam surah al-A’la ayat 17 yang bermaksud, “ Dan alam akhirat adalah tempat yang lebih baik dan tempat yang kekal abadi..” Dalam surah al-Ankabut ayat 64 pula, Tuhan menyatakan “ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”
Umat islam menganggap dunia sebagai lading bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat menuai hasilnya. Mereka hanya dianggap berjaya jika hasil tanaman mereka di dunia dapat dituai di akhirat. Justeru, mereka sepatutnya tidak menjadi golongan yang hanya mementingkan kejayaan di dunia semata-mata sahaja. Sebagaimana yang diceritakan dalam surah al- Baqarah ayat 200 yang bermaksud, “ ada di antara manusia yang berdoa, ‘ Wahai Tuhan kami berikanlah kebaikan kepada kami di dunia,’ dan tiadalah behagian (yang menyenangkan) bagi mereka di akhirat.”

Cemerlang dengan sembahyang

ANTARA IBADAH PENTING yang wajib dilakukan adalah sembahyang. Untuk berjaya, umat islam tidak boleh mengabaikan sembahyang sama sekali terutamanya sembahyang fardhu. Dalam konteks melaksanakan sembahyang, dua perkara wajib dijaga.
Pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan sembahyang dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang ditetapkan.
Sembahyang perkara yang penting sehinggakan semasa sedang berperang sekalipun tidak boleh meninggalkannya. Sembahyang adalah tiang agama. Imam Baihaqi melaporkan, nabi berkata, “ Sembahyang itu tiang agama sesiapa yang meninggalkanya dia meruntuhkan agama.”

Sesat kerana memperkecilkan sembahyang.
Golongan yang memperkecilkan sembahyang adalah golongan yang sesat. Tuhan menyatakan dalam surah Maryam ayat 59 yang bermaksud, “ Maka datanglah selepas mereka pengganti( yang keji) yang mesia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” berhubung dengan ayat ini, Abdullah Bin Abbas berkata, “ maksud mensia-siakan solat” buukanlah bermaksud meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya daripada waktunya.”

Imam Said al- Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan Abdullah Bin Abbas. Beliau berkata, “ Mereka melaksanakan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat asar dalam solat maghrib, solat maghrib dalam waktu Isyak, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa taubat, dia akan dihumban masuk dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik.” Hal ini disebutkan di dalam al- Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru, melaksanakan sembahyang fardhu dalam waktu yang ditetapkan adalah sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada nabi, “ Apakah amalan yang paling Allah suka?” Beliau menjawab, “ Solat tepat pada waktunya.” Abdullah bin Masud bertanya lagi, “ Kemudian apa?” Beliau menjawab, “ Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu-bapa.” Abdullah bertanya lagi, “ Kemudian apa” Nabi menjawab, “ Jihad kerana agama Allah.”

Saturday, January 17, 2009

Bersama merubah pemikiran mahasiswa Apex


Assalamuaikum dan selamat sejahtera.
Alhamdulillah, USM telah pun menyelesaikan proses pilihan raya dan perlantikan MPP 2009/2010.
Perlantikan MPP pada kali ini telah menyaksikan bakal-bakal pemimpin pelajar dalam kepimpinan MPP Universiti APEX yang pertama. Sehubungan dengan itu, sebagai mahasiswa yang berada dan yang akan menjadi produk universiti APEX pertama negara, kita seharusnya bersama-sama untuk bersedia untuk merubah mentaliti kita kepada mentaliti yang terbuka dan global.

Mahasiswa juga perlu untuk berfikir bagi melahirkan idea-idea yang baru untuk kemaslahatan bersama. Untuk melahirkan idea-idea yang baru,mahasiswa perlu untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dan isu-isu berdasarkan fakta dan membuat penilaian berdasarkan fakta-fakta yang sahih.
Corak pemikiran mahasiswa perlu bersifat menyeluruh iaitu bukan hanya berpandukan kepada satu sumber sahaja. Corak pemikiran seperti ini akan membolehkan mahasiswa menjadi matang dalam berfikir.

Akhir kata, bersama kita merubah corak pemikiran kita sebagai mahasiswa Universiti APEX..

Saturday, January 10, 2009

Rintihan kita...



Assalamuaikum dan selamat sejahtera. Hari ini masuk hari ke 16 bumi Palestin diserang bertalu-talu oleh rejim Zionis.Pada hari ini, di Geneva Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu Israel disiasat atas tuduhan jenayah perang berhubung pengeboman sebuah rumah yang sesak dengan orang awam Palestin yang berlindung daripada bedilan tentera rejim Zionis berkenaan. Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Kemanusiaan, Navi Pillay, berkata pengeboman itu mempunyai unsur jenayah perang. Tetapi sejauh mana keberkesanan siasatan itu dilakukan?adakah ia hanya sekadar siasatan dan tidak ada tindakan susulan terhadap jenayah yang dilakukan?

Sudah 16 hari bumi Palestine di ceroboh dan penduduknya dibunuh dengan kejam, anak-anak kecil dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Dimanakah suara PBB yang sepatutnya menjadi egen mengawal kedamaian dunia? kemana resolusi-resolusi yang dibuat oleh Majlis Keselamatan PBB untuk menjaga keamanan sejagat?

Lihatlah pada hari ini, kanak-kanak yang akan menjadi pewaris generasi Palestine berdiri kaku melihat ibu dan bapa mati dibunuh dihadapan mereka? dimana nilai ihsan insani? sehubungan dengan itu, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC)
"Ada empat orang kanak-kanak kecil yang terlalu letih untuk berdiri selepas dibiarkan selama 48 jam cuba mengangkat ibu mereka yang sudah mati.
"Mengikut peraturan perang, askar mempunyai tanggungjawab melayan dengan sempurna mereka yang cedera dalam pertempuran," kata ICRC. lihatlah betapa kesian dan sedihnya kita melihat bagaimana kanak-kanak itu diperlakukan sedemikian. cuba kita bayangkan ibu-bapa kita diperlakukan sedemikian, di hadapan mata kita sendiri, ya Allah, betapa siksanya diri kita untuk menhadapinya.
Mengikut laporan yang dibuat jelas menunjukkan bahawa kekejaman yang telah dilakukan tidak boleh kita maafkan.
Sebagai mahasiswa kita boleh melakukan pelbagai perkara, misalnya menyumbangkan sumbangan berbentuk kewangan kepada mereka disana,bantuan kewangan tersebut akan ditukarkan kepada bentuk ubat-ubatan, makanan, keperluan asas, dan sebagainya.
Semoga kita mendoakan kesejahteraan bumi Palestin dapat dipulihkan. ameen.

Wednesday, January 7, 2009


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Disini ada satu pengumuman penting. Pada esok hari bersamaan hari Jumaat pukul 12.30 tengah hari. Sekretariat Sukarelawan USM mengadakan perhimpunan aman bersama dengan Naib Canselor untuk membantah dan memprotes serangan Israel ke atas Palestin. Jadi marilah beramai-ramai ke perkarangan masjid untuk membantah kekejaman yang sedang di lakukan oleh israel keatas Palestine. Semua warga usm di alu-alukan untuk menjayakan bantahan yang akan kita lakukan pada tengahari esok. Hari Jumaat pada pukul 2.30 tengahari, diperkarangan masjid. JUMPA DISANA!

Perselisihan yang berpanjangan? cukuplah..


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian. Pada penulisan kali ini saya ingin membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan ikhtilaf (perselisihan) yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Dalam tulisan Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya ‘kewajiban menguasai enam jenis fiqh bagi pendakwah islam di alaf baru’. Ikhtilaf(perselisihan) merupakan salah satu fiqh daripada enam fiqh yang terkandung dalam bukunya itu, antara fiqh-fiqh yang terkenal adalah, fiqh Al-Muwazanat, Al-Awlawiyat, Al-Nusus, Al-Waqi’ dan Al-Taghyir. Dalam penulisan hari ini, saya akan membincangkan tentang fiqh Al-Ikhtilaf. Fiqh-fiqh yang lain akan dibincangkan kemudian.

Ikhtilaf tidak pernah memudaratkan hubungan sesama manusia, tetapi malangnya kita di zaman yang jahil ini terlalu jahil dalam mengenal dan memahami fiqh ini. Oleh itu, tidak pelik jika kita pada hari ini sanggup bermusuhan sesama Islam oleh kerana perkara-perkara yang remeh tanpa sebarang penilaian yang benar. Pada zaman ini terdapat banyak kebangkitan jemaah-jemaah,pertubuhan-pertubuhan dan madrasah untuk menegakkan islam dimuka bumi Allah Yang Esa ini, kebangkitan ini. Setiap daripadanya akan membawa kepada manhajnya tersendiri dalam menjalankan kerja-kerja Islam. Tidak menjadi kesalahan untuk mewujudkan pelbagai jemaah dan pertubuhan yang bekerja untuk Islam. Asalkan kepelbagaian yang wujud itu boleh melahirkan kerjasama dan menyebabkan setiap jemaah saling melengkapi antara satu sama lain.

Apa yang menyedihkan hati apabila ada pendakwah islam yang tidak memahami dan menilai ihktilaf, sebaliknya lebih berperanan menimbulkan bibit-bibit perpecahan dan mencari ruang untuk perpecahan. Kebanyakannya hanya bertumpu kepada titik pepercahan bukannya titik pertemuan dan penyatuan. Perkara ini semakin kronik apabila ada jemaah-jemaah yang menganggap hanya jemaahnya sahaja yang benar, manakala jemaah lain adalah salah.

Perlu diingatkan bahawa setiap individu mempunyai ilmu tersendiri dan didalam manhaj setiap jemaah itu, ada kekuatan dan kelemahannya. Oleh kerana itu, kita tidak boleh sesekali untuk menghina jemaah lain apatah lagi mengangkat jemaah sendiri. Sebenarnya golongan yang cuba untuk mengumpulkan orang ramai untuk berpegang kepada satu pendapat sahaja dalam hukum-hukum ibadat, muamalah dan lain-lain cabang agama adalah mereka yang cuba untuk merealisasikan sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku.

Percubaan mereka untuk mengahapuskan perselisihan tidak akan membuahkan apa-apa hasil, sebaliknya akan meluaskan lagi perselisihan. Sehubungan dengan itu perselisihan dalam memahami hukum-hukum syarak yang tidak asasi adalah satu keperluan yang tidak dapat dielakkan.

Semoga penulisan ini dapat difikirkan bersama-sama dan kita boleh berkongsi pendapat bersama-sama. InsyaAllah.