CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, January 21, 2009

Cemerlang dengan membaca dan meneliti Al Quran

Cemerlang dengan membaca dan meneliti Al Quran

“ Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-kitab (Quran) dan dirikanlah solat” Al-Ankabut, 45

SUMBER ILMU YANGTERPENTING BAGI UMAT ISLAM ADALAH QURAN,kecemerlangan tidak dapat dipisahkan daripada Quran kerana Quran adalah petunjuk. Tanpa petunjuk, manusia akan tersesat dan terbabas. Tuhan menjelaskan dalam surah al- israk ayat 9 yang bermaksud, “ sesungguhnya quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal salih bahawa bagi mereka ada pahala besar.”
Tuhan menyifatkan Quran sebagai petunjuk aqwam. Berhubung dengan ini, di dalam al-Jamik li ahkam al-quran, Imam Qartubi berkata, “ Kalimat aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat.” Justeru, mereka yang menjadikan Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan ketenangan akan menaungi mereka.

Cemerlang dengan Wawasan

“ Dan antara mereka ada yang berkata, “ Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami hasanah dunia dan hasanah di akhirat dan jauhikan kami daripada azab api neraka” Al- Baqarah. 201

UNTUK BERJAYA, INDIVIDU itu perlu mempunyai matlamat dan wawasan. Quran menjelaskan berkenaan wawasan ini dengan indah sekali. Melalui ayat di atas, Tuhan menjelaskan wawasan ini dalam bentuk doa. Doa ini disebut berulang- ulang kali hampir setiap hari oleh umat Islam di dalam dan luar sembahyang.

Dalam musnad Imam Ahmad dinyatakan. Imam Qatadah bertanya kepada sahabat nabi, Anas bin Malik, “ apakah doa yang paling banyak disebut oleh nabi?” Anas menjawab, “Doa itu adalah, ‘Wahai Tuhan kami, kurniakanlah hasanah bagi kami di dunia dan juga akhirat dan jauhkanlah kami daripada azab neraka.” Mengikut Imam Muslim, Anas bin Malik apabila hendak berdoa dengan satu doa, beliau pasti berdoa dengan doa ini. Apabila beliau berdoa dengan pelbagai doa, doa ini pasti dimuatkan dalam himpunan doa-doa itu.

Wawasan hasanah

Wawasan yang terdapat dalam ayat ini boleh dinamakan sebagai “wawasan hasanah”. Hasanah boleh diertikan sebagai kebaikan dan kebahagiaan. Kebaikan dan kebahagian yang dikejar oleh umat Islam adalah di dunia dan akhirat.
Berhubung dengan ayat ini,Imam Ibnu Kathir di dalam tafsir al-quran al azim berkata, “doa ini menghimpunkan segala kebaikan di dunia di samping mengandungi permintaan supaya dijauhkan daripada segala keburukan . hasanah di dunia merangkumi segala perkara yang diperlukan di dunia, antaranya kesihatan, tempat tinggal yang baik,isteri (suami) yang baik, murah rezeki, ilmu yang bermanfaat, amalan yang salih dan lain-lain. Adapun hasanah di akhirat, setinggi-tinggi anugerahnya adalah syurga. Di samping itu,ia juga merangkumi aspek-aspek ukhrawi seperti diamankan daripada kedasyatan akhirat, dipermudahkan hisab dan seumpamanya.

Hasanah di Akhirat Lebih Utama

Dunia bukan destinasi terakhir manusia. Sebaliknya, ia hanyalah persinggahan bagi mengambil bekalan. Destinasi terakhir yang sepatutnya menjadi focus semua manusia adalah akhirat. Justeru, hasanah di akhirat adalah lebih baik dan lebih wajar diutamakan. Tuhan menyatakan dalam surah al-A’la ayat 17 yang bermaksud, “ Dan alam akhirat adalah tempat yang lebih baik dan tempat yang kekal abadi..” Dalam surah al-Ankabut ayat 64 pula, Tuhan menyatakan “ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”
Umat islam menganggap dunia sebagai lading bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat menuai hasilnya. Mereka hanya dianggap berjaya jika hasil tanaman mereka di dunia dapat dituai di akhirat. Justeru, mereka sepatutnya tidak menjadi golongan yang hanya mementingkan kejayaan di dunia semata-mata sahaja. Sebagaimana yang diceritakan dalam surah al- Baqarah ayat 200 yang bermaksud, “ ada di antara manusia yang berdoa, ‘ Wahai Tuhan kami berikanlah kebaikan kepada kami di dunia,’ dan tiadalah behagian (yang menyenangkan) bagi mereka di akhirat.”

Cemerlang dengan sembahyang

ANTARA IBADAH PENTING yang wajib dilakukan adalah sembahyang. Untuk berjaya, umat islam tidak boleh mengabaikan sembahyang sama sekali terutamanya sembahyang fardhu. Dalam konteks melaksanakan sembahyang, dua perkara wajib dijaga.
Pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan sembahyang dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang ditetapkan.
Sembahyang perkara yang penting sehinggakan semasa sedang berperang sekalipun tidak boleh meninggalkannya. Sembahyang adalah tiang agama. Imam Baihaqi melaporkan, nabi berkata, “ Sembahyang itu tiang agama sesiapa yang meninggalkanya dia meruntuhkan agama.”

Sesat kerana memperkecilkan sembahyang.
Golongan yang memperkecilkan sembahyang adalah golongan yang sesat. Tuhan menyatakan dalam surah Maryam ayat 59 yang bermaksud, “ Maka datanglah selepas mereka pengganti( yang keji) yang mesia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” berhubung dengan ayat ini, Abdullah Bin Abbas berkata, “ maksud mensia-siakan solat” buukanlah bermaksud meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya daripada waktunya.”

Imam Said al- Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan Abdullah Bin Abbas. Beliau berkata, “ Mereka melaksanakan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat asar dalam solat maghrib, solat maghrib dalam waktu Isyak, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa taubat, dia akan dihumban masuk dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik.” Hal ini disebutkan di dalam al- Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru, melaksanakan sembahyang fardhu dalam waktu yang ditetapkan adalah sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada nabi, “ Apakah amalan yang paling Allah suka?” Beliau menjawab, “ Solat tepat pada waktunya.” Abdullah bin Masud bertanya lagi, “ Kemudian apa?” Beliau menjawab, “ Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu-bapa.” Abdullah bertanya lagi, “ Kemudian apa” Nabi menjawab, “ Jihad kerana agama Allah.”

0 comments: